Polis Perak sedia bantu siasatan kes bunuh cikgu Istiqomah

 Polis mengesahkan mayat tidak lengkap ditemui di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka, pada 31 Disember tahun lalu, dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi.

Polis mengesahkan mayat tidak lengkap ditemui di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka, pada 31 Disember tahun lalu, dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi.

IPOH: Polis Perak sedia membantu siasatan kes pembunuhan guru, Istiqomah Ahmad Rozi yang mayatnya ditemui tanpa kepala dalam tong sampah di Melaka, jika terdapat permintaan daripada polis kontinjen negeri itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata kerjasama itu bergantung kepada siasatan yang dijalankan oleh polis di kontinjen Melaka memandangkan suspek yang ditahan berasal di Chemor.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum ada sebarang permintaan dari Polis Kontinjen Melaka bagi tujuan itu.

"Jika pegawai penyiasat berkenaan mempunyai sebarang petunjuk di Perak, barulah kita akan membantu mereka.

"Bagaimanapun setakat ini, kami belum menerima sebarang permintaan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bagi Bulan Ogos 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah dilapor berkata, polis menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu dan direman enam hari sehingga semalam susulan pengesahan identiti mayat yang dijumpai tanpa kepala pada Disember 2023 adalah Istiqomah.

Istiqomah, 33, mula dilaporkan hilang pada 26 Disember 2023 di Kota Masai, Pasir Gudang, Johor sebelum satu mayat tanpa kepala tanpa kepala, badan dan tangan ditemui oleh orang awam pada 31 Disember 2023 dalam tong sampah di longkang tepi Jalan Alor-Gajah-Tampin, berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang di Melaka.

Mayat tanpa kepala, tangan, dan badan itu disahkan adalah Istiqomah menerusi hasil siasatan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman termasuk menerusi ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dijalankan pada 2 Ogos lalu.

Bagaimanapun, reman ke atas suspek lelaki disambung selama tujuh hari lagi bermula semalam hingga 18 Ogos ini bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala isterinya dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada kaitan dengan kes.

Sumber : BHOnline

Catat Ulasan

0 Ulasan