TAWAU: Seramai 13 remaja didakwa di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional Lahad Datu, Mac lalu.
Bagaimanapun, semua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Berikutan itu, mahkamah menetapkan 10 hari perbicaraan bermula 18 hingga 20 November dan 25 hingga 29 November depan.
Pihak pendakwaan dijangka memanggil 10 hingga 12 saksi untuk memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan itu, manakala semua tertuduh direman di Jabatan Penjara Tawau bermula hari ini sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Terdahulu, semua tertuduh yang lengkap berpakaian putih tiba di perkaranhan Mahkamah kira-kira jam 8.24 pagi dengan menaiki lori polis sebelum diiring masuk ke lokap mahkamah.
Mereka yang berusia antara 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada kira-kira jam 9 malam 21 Mac hingga jam 7.35 pagi 22 Mac.
Pada 2 April lalu, 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan secara bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 24 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suryana dan Hurman Hussain.
Sembilan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh, Amirul Amin Rashid dan Chen Wen Jye, manakala seorang remaja diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan tiga lagi tidak diwakili peguam.
Pada 22 Mac lalu, Mohamad Nazmie Aizzat ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh di sebuah bilik asrama kolej itu.
Sumber : BHONLINE
0 Ulasan