Sekolah, tadika dan taska tutup jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) cecah 200 - JAS

 

Imej Hiasan

Kuala Lumpur: Sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU.

Beliau berkata, ia antara tindakan menghadapi jerebu berdasarkan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).

"Sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan peningkatan ke arah 200, persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan," katanya dalam siaran media dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), hari ini.

Beliau berkata, pelan PTJK mengandungi tindakan spesifik yang perlu diambil oleh setiap agensi berpandukan kepada tahap amaran tertentu yang ditetapkan mengikut status kualiti udara iaitu bacaan IPU dan petunjuk kepada kesihatan awam.

"Pelan tindakan ini dikemaskini pada tahun 2002, 2006, 2012 dan 2013. Pengemaskinian pelan terkini adalah pada tahun 2018 dengan mengambilkira kemasukan parameter PM2.5 dalam bacaan IPU negara.

"Pengemaskinian Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan adalah untuk mempercepatkan tindakan yang perlu diambil oleh agensi.

"Antara tindakan agensi yang perlu dilaksanakan adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah/negeri/pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam;

"Menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100. Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan," katanya.

Selain itu, beliau berkata Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

Sehubungan itu, katanya, JAS bersama kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu akan sentiasa bertindak dengan lebih cepat dan responsif di atas tindakan-tindakan seperti yang disenaraikan di dalam pengemaskinian PTJK.

Beliau berkata, bacaan IPU direkodkan jam 6 petang tadi menunjukkan satu kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 56 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

"Rekod bacaan IPU jam 6 petang tadi menunjukkan 11 stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu masing-masing dua di Kuala Lumpur membabitkan Batu Muda (116) dan Cheras (160); lima di Selangor iaitu Petaling Jaya (154), Shah Alam (154), Klang (107), Banting (155) dan Johan Setia (144), tiga di Negeri Sembilan iaitu Nilai (161), Seremban (156) dan Port Dickson (152), serta Putrajaya (153)," katanya.


Wan Abdul Latiff berkata, bagi menangani situasi berjerebu di dalam negara, kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sedang mempertingkatkan usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan.

sumber : Harian Metro

Catat Ulasan

0 Ulasan